KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi diiktiraf antara tokoh Islam paling berpengaruh di dunia apabila disenaraikan dalam kelompok 10 teratas The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2026 terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan.
Menurut laporan edisi 2026 itu, Anwar menduduki tempat ke-10, meningkat berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2025 hasil peranan beliau sebagai pemimpin kerajaan perpaduan serta suara lantang dunia Islam dalam isu kemanusiaan sejagat.
Profil tersebut menggambarkan perjalanan politik Anwar sebagai “kisah kebangkitan yang dramatik dalam politik Malaysia”, merujuk kepada perjuangan panjang beliau yang penuh cabaran termasuk pemenjaraan, pengasingan politik dan akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022.
Laporan itu turut menekankan kejayaan beliau membentuk gabungan pelbagai parti melalui kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan.
Dalam aspek diplomasi antarabangsa, Anwar dipuji atas peranan penting Malaysia sebagai pengantara keamanan di rantau ASEAN.
“Anwar memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja selepas beberapa hari pertempuran di sempadan, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pengantara damai yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.
Selain politik, RISSC turut menyorot sumbangan Anwar dalam bidang akademik dan pemikiran Islam, termasuk sebagai pengasas bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang berpusat di Amerika Syarikat sejak 1981 serta bekas Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 hingga 1988.
Dalam isu Palestin, laporan itu menyanjung pendirian tegas Anwar terhadap kekejaman rejim Zionis Israel.
“Beliau melihat tindakan Meta menurunkan hantaran mengenai pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai satu bentuk penindasan yang jelas dan pengecut terhadap perjuangan rakyat Palestin,” menurut laporan tersebut.
Anwar digambarkan sebagai tokoh yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Palestin serta menolak keras penindasan dan kezaliman terhadap dunia Islam.
Antara tokoh lain yang menduduki tempat teratas senarai 2026 ialah Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani (Emir Qatar), Sheikh Muhammad Taqi Usmani (Pakistan) dan Sheikh Al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman).
Senarai tahunan The Muslim 500 diterbitkan sejak 2009 bagi mengiktiraf 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia merangkumi bidang kepimpinan, keagamaan, pendidikan, ekonomi dan kemanusiaan.