KUALA LUMPUR, 13 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan isu konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand.
Menerusi hantaran dI Facebooknya, Perdana Menteri turut memaklumkan perbincangan juga menjurus kepada hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen diplomatiknya dengan menggesa kedua-dua negara untuk bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN,” katanya.
Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat, bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN, serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” kata Perdana Menteri.
Konflik Kemboja-Thailand tercetus akibat daripada pertikaian berkenaan persempadanan era penjajahan dan tuntutan terhadap beberapa kuil bersejarah di sempadan 800 kilometer antara kedua-dua negara.
Pertempuran sempadan yang berlaku minggu ini telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan memaksa kira-kira 500,000 penduduk melarikan diri dari kawasan terjejas.