KUALA LUMPUR, 13 Disember - Malaysia mengalu-alukan Resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Disember yang memperakukan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Obligasi Israel terhadap PBB, Organisasi Antarabangsa Lain dan Negara-negara Ketiga di Wilayah Palestin Yang Diduduki.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, resolusi bertarikh 22 Oktober tersebut telah menerima sokongan padu daripada Negara Anggota PBB dengan meraih 139 undi.
"Resolusi yang diterajui oleh Negara-Negara Sepemikiran, termasuk Malaysia ini, menegakkan undang-undang antarabangsa dan menzahirkan komitmen kolektif masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan sepenuhnya dan dengan segera dapatan ICJ dalam Pendapat Nasihat tersebut.
"Malaysia menuntut Israel untuk mematuhi semua obligasinya bawah undang-undang, termasuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan terutamanya oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB; melindungi hak mutlak rakyat Palestin; dan menghormati keistimewaan dan kekebalan PBB," meenurut kenyataan itu.
Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi memastikan penyelesaian adil, komprehensif dan berkekalan untuk Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB berkaitan.