KUALA LUMPUR, 17 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat memberi tumpuan kepada ekonomi dan mencapai kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertunggak secara komprehensif dengan Singapura.
Perkara itu dinyatakan beliau ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Perdana Putra, Putrajaya.
"Menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Negeri Republik Singapura, TYT Dr. Vivian Balakrishnan petang tadi.
Semasa kunjungan hormat tersebut, kami bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama," katanya menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau.
(Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan
di pejabat beliau di Perdana Putra, Putrajaya)
Balakrishnan berada di Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari mulai Ahad hingga Rabu ini.