fb fb fb fb fb

PM tekankan pemeliharaan dan promosi karya agung Melayu

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan pemeliharaan dan promosi karya agung Melayu dalam pertemuan bersama Pengerusi dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan yang diketuai Datuk A. Aziz Deraman, hari ini.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar memaklumkan dalam pertemuan tersebut, beliau mengenang kembali usaha penubuhan Yayasan Karyawan pada 1996 yang bertujuan mengkaji serta menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu, dan Karya Agung Dunia dalam Bahasa Melayu.

Menurut beliau, Yayasan Karyawan berperanan penting dalam menerjemah serta menyebarluaskan karya agung dari tamadun luar ke dalam bahasa Melayu, selain memastikan kesusasteraan tradisional Melayu terus terpelihara.

"Sempena ulang tahun ke-30 Yayasan Karyawan, hala tuju dan strategi promosi perlu diperkukuh bagi memastikan karya agung ini dapat dibekalkan di sekolah dan universiti," katanya.

Beliau turut mencadangkan pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha pendigitalan dan penyebaran karya agung, selain memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa dengan kerjasama syarikat korporat bagi memupuk apresiasi terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE