fb fb fb fb fb

PM seru umat Islam imarah masjid dengan aktiviti ilmiah

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

SEBERANG PERAI, 18 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam untuk mengimarahkan masjid dengan pengisian bermanfaat dan berilmiah untuk semua golongan.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak agar tidak menjadikan masjid sebagai wahana menyebarkan kebencian dan menanam bibit prasangka yang semakin menular dan keterlaluan ketika ini.

Masjid merupakan institusi penting dalam membangun dan memberdayakan ummah di negara ini selain berfungsi sebagai pusat umat Islam beribadah terutamanya pada bulan Ramadan.

"Imarahkan dengan adakan kelas pengajian, ada ruang untuk wanita, untuk anak-anak muda dan bagi apa yang mereka minat untuk meningkatkan ilmu.

"Mengimarahkan masjid ini adalah membangunkan masyarakat, menjalankan aktiviti yang mengukuhkan perpaduan dengan nilai-nilai murni Islam.

"Umat Islam juga tidak boleh menjadikan institusi masjid sebagai tempat untuk memporak-perandakan dan menyebarkan kebencian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Masjid Jamek Perai di sini.

Turut hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Perdana Menteri bersetuju menyumbang RM100,000 kepada masjid tersebut bagi membolehkannya menjalankan pelbagai kegiatan termasuk mengimarahkan masjid.

Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk kawasan berkenaan pada tahun 1979 dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021, bagi menggantikan bangunan lama dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI