SHAH ALAM, 12 September -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM67 juta kepada Selangor, bagi membiayai projek kecil serta pembangunan infrastruktur awam di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata dana itu akan dimanfaatkan melalui Projek Mesra Rakyat (PMR), Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA) dan Projek Infrastruktur Asas Rakyat (PINTAR).
"Pecahan agihan peruntukan tersebut adalah sebagaimana berikut, Projek Mesra Rakyat (PMR), Siling peruntukan RM44 juta, Projek Infrastruktur Awam/ Asas Rakyat (PINTAR), Siling peruntukan RM4.5 juta, Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA),Siling peruntukan RM6.5 juta; dan PRISMA MOF Siling peruntukan RM12 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kerja Undi Peruntukan Perdana Menteri dan Peranti MADANI di kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini.
Pada majlis sama, Datuk Seri Amirudin turut menyampaikan 23 bantuan peranti MADANI kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hasil kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Bank Muamalat.
Sementara itu, Datuk Seri Amirudin berkata, Selangor komited membasmi kemiskinan tegar, dengan sasaran mengurangkan 6,000 hingga 7,000 penerima daripada kira-kira 15,000 hingga 17,000 golongan miskin tegar melalui pelbagai program kebajikan negeri.
Beliau menjelaskan semakan dijalankan setiap enam bulan bagi menilai keadaan golongan miskin tegar.
Mereka yang dikenal pasti akan dibantu melalui Inisiatif Sosial Selangor (ISS), Bantuan Inisiatif Negeri untuk Kesejahteraan dan Sosial (BINGKAS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), termasuk diberi peluang pekerjaan.