fb fb fb fb fb

UMT perkasa penduduk menerusi Komuniti@UniMADANI

Foto RTM

KUALA NERUS, 12 September - Sejumlah RM600,000 telah diperuntukkan kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menjayakan pelbagai projek dan program di bawah Komuniti@UniMADANI tahun ini. 

Ia termasuk penglibatan lapan buah Komuniti di seluruh Terengganu.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, komuniti terlibat termasuklah prospek atau banduan, komuniti cacat penglihatan, golongan asnaf, orang asli serta komuniti sekitar UMT.

"Saya telah berbincang dengan pasukan dari UMT untuk kita tambah baik lagi dari segi penternakan ikan dalam sangkar ini.

"Antara lain kita cuba bantu untuk kita menggunakan teknologi biofloc dengan menggunakan aerator dikuasa oleh solar panel", katanya di sini, hari ini.

Antara projek diusahakan termasuk ternakan ikan dalam sangkar, tanaman cendawan serta sayur-sayuran membabitkan golongan sasar berkenaan.

Terbaharu, UMT melancarkan Projek Rintis Komuniti Tertumpu di Kampung Kubang Badak sebagai satu inisiatif untuk memperkasakan komuniti setempat melalui pendekatan pemindahan ilmu, keusahawanan dan pembangunan mampan secara lestari.

Seramai 30 orang peserta terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk suri rumah, pesara, petani, belia dan warga emas terlibat secara langsung dalam pelaksanaannya dengan peruntukan 100 ribu ringgit.

Ketua Projek, Ismail Ibrahim pula berkata, pelaksanannya memberi impak secara tidak langsung kepada penduduk dalam menambah sumber pendapatan harian.

"Macam komuniti kita seperti golongan ibu tunggal, kebanyakkan tidak bekerja, jadi ia boleh membantu mereka untuk menampung perbelanjaan", katanya.

Manakala bagi peserta projek, Esah Mahmod pula, penglibatannya membolehkan ekonomi keluarga berada dalam keadaan yang lebih baik.

"Purata kalau kita dapat hasilnya, kalau banyak maka banyaklah pendapatannya, kalau empat kilo sehari kita kutip dan kita jual dalam 18 ringgit sekilo dan kalau kita paketkan kecil RM3 sekilo", katanya.

Trainee