(Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA, 30 Ogos- Kerajaan memberi jaminan penyediaan prasarana asas yang munasabah di kesemua sekolah seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manfaat itu melibatkan kemudahan seperti bumbung dan tandas sekolah.
"Alhamdulillah pada tahun ini, sebelum akhir tahun, secara spesifiknya pada Oktober, semua sekolah dalam negara (iaitu) Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Arab, (dan) semua tanpa kecuali, kita jamin mempunyai prasarana asas yang munasabah termasuk bumbung dan tandas.
"Bagi saya, ini jauh lebih bermakna bagi jutaan ibu bapa dan anak-anak murid (berbanding) daripada mercu tanda dan gedung hebat dan besar," katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan bersama Perdana Menteri di sini.
Beliau menyampaikan amanat pertamanya sempena Hari Kebangsaan sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada November tahun lepas.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia bakal menjadi negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital yang memberi ratusan ribu peluang kepada anak muda negara dalam bidang pekerjaan baharu.
Ia akan terlaksana menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bakal dilancarkan pada 1 September ini.
"Dua hari lagi kita akan luncurkan (lancarkan) Pelan Perindustrian Negara, bukan seperti pelan perindustrian yang biasa, tetapi melakukan anjakkan supaya tidak memutuskan ke arah sektor, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, dengan transformasi digital dan memberi ruang bagi ratusan ribu anak-anak muda dalam bidang pekerjaan baru," katanya.
Jelasnya lagi, negara telah memperoleh kembali perhatian beberapa syarikat besar seperti Tesla Inc dari Amerika Syarikat, Geely dari China serta Infineon Technologies dari Jerman yang bersetuju menjadikan Malaysia pangkalan pelaburan penting.
Kerajaan juga akan melaksanakan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sejurus selepas pelancaran NIMP 2023.
(Anwar Ibrahim)