fb fb fb fb fb

Polis Johor tubuh pasukan pantau isu 3R di media sosial

(Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat/FOTO BERNAMA)

MUAR, 29 Ogos - Polis memantau penyokong parti politik yang memuat naik hantaran berkaitan isu ' 3R’ (raja, agama, dan kaum) di media sosial, tegas Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat.

Menurut Kamarul Zaman, polis menubuhkan pasukan khas bagi memantau golongan itu yang cuba membangkitkan isu 3R sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram.

“Dalam pemantauan kita pun, kita tubuhkan pasukan untuk menyiasat ataupun memastikan dan mengawal (hantaran di media sosial seperti) TikTok dan sebagainya.

“Dan apa-apa yang berlaku yang melibatkan kesalahan kita akan buat laporan polis dan kita akan jalan siasatan.

“Sama ada betul atau tidak betul itu lain cerita. Siasatan kita akan jalankan,” katanya pada sidang media di Dewan Perumahan PDRM, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata polis menerima 11 laporan sepanjang pilihan raya bagi kedua-dua kawasan itu dari 26 Ogos hingga semalam.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan laporan yang diterima polis hanya membabitkan bahan kempen PRK.

(FOTO BERNAMA)

Namun, daripada jumlah itu 1 kertas siasatan telah dibuka melibatkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika kempen di Simpang Jeram pada 26 Ogos lalu.

"Kertas siasatan terhadap Abdul Hadi dibuka mengikut Sekyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tambah Kamarul Zaman.

Katanya, setakat semalam Daerah Johor Bahru Utara menerima laporan tertinggi iaitu tujuh, diikuti Johor Bahru Selatan (tiga), Iskandar Puteri (satu).

Tambah beliau, 11 permit ceramah telah diluluskan  di kawasan Simpang Jeram dan dua lagi permohonan di tolak kerana berada di luar kawasan kempen.

“Kekuatan anggota yang bertugas sepanjang tempoh berkempen bagi kawasan Simpang Jeram adalah seramai 381 pegawai dan anggota dan 708 terlibat semasa hari mengundi,” tambah beliau.

PRK Johor bagi Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

SPR menetapkan 9 September ini bagi hari mengundi di kedua-dua kawasan itu.

Media Baharu