KUALA LUMPUR, 27 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada pelakon veteran, Jalil Hamid yang kini mengalami masalah kesihatan.
Anwar berkata, sumbangan dan program ziarah ke kediaman Jalil Hamid itu diwakili oleh Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi.
"Alhamdulillah, semalam Setiausaha Politik saya, saudara Farhan Fauzi berkesempatan melakukan ziarah ke atas seniman Jalil Hamid serta memberikan sedikit sumbangan kepada beliau.
"Saya mendoakan saudara Jalil dikurniakan afiyah (kesihatan) serta sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT," kata Anwar menerusi Facebooknya.
Terdahulu, Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid, 67, disahkan mengalami masalah jantung dan hilang selera makan sejak setahun lalu.
Ia juga telah mengakibatkan Jalil mengalami penurunan berat badan secara mendadak hingga mengganggu rutin hariannya.