KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan (MOF) atas dedikasi dan komitmen tinggi mereka dalam menyiapkan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pukul 4.00 petang ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya pagi ini, Anwar berkata beliau berbangga melihat kerja keras seluruh pasukan kementerian yang berusaha tanpa mengenal penat lelah bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memaknai erti sebenar kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menerusi dokumen berkenaan.
"Sekitar tinjauan persiapan akhir Belanjawan MADANI Keempat semalam. Saya berbangga melihat kerja keras pasukan Kementerian Kewangan yang membanting tulang menyiapkan Belanjawan ini yang akan dihamparkan di Dewan Rakyat petang ini.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang berusaha tanpa lelah merealisasikan hasrat kerajaan untuk memaknai erti sebenar kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menerusi dokumen ini," katanya.
Dalam hantaran terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembentangan Belanjawan 2026 bukan sekadar melibatkan angka dan perbelanjaan, sebaliknya menjadi hala tuju kerajaan dalam memastikan rakyat terus dibantu tanpa menambah beban hutang negara.
"Insya-Allah, petang ini saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat. Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
"Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya.
Belanjawan itu merupakan yang keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta yang pertama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang menjadi asas utama pelaksanaan pelan pembangunan negara.