PM gesa perselisihan kecil ditangani segera demi keamanan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Ziarah Kasih MADANI/Foto Pejabat Perdana Menteri.

BUKIT MERTAJAM, 20 Mac – Sebarang perselisihan kecil perlu ditangani segera agar tidak berlarutan sehingga menjejaskan keamanan dan kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selesaikan perbezaan melalui saluran undang-undang, bukan emosi atau provokasi.
  • Perpaduan, kestabilan dan keselamatan negara mesti diutamakan ketika menghadapi tekanan ekonomi dan konflik antarabangsa.
  • Hormati kebebasan beragama dan kaum; elakkan tindakan yang menimbulkan ketegangan.
  • Pemantauan keselamatan berterusan melalui mesyuarat berkala bersama agensi bagi memastikan keadaan terkawal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbezaan pandangan juga perlu diselesaikan secara baik melalui saluran undang-undang, bukan dengan emosi atau provokasi.

Menurutnya, perpaduan rakyat, kestabilan dan keselamatan negara mesti menjadi keutamaan terutama ketika negara berdepan tekanan ekonomi serta ketidaktentuan akibat konflik antarabangsa.

“Apabila berlaku perselisihan, ia perlu ditangani dengan segera. Jika boleh dirunding, selesaikan melalui rundingan, namun jika melibatkan kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil.

“Jangan dibiarkan sehingga keadaan menjadi tidak terkawal kerana konflik kecil boleh membawa kesan besar termasuk menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Akhir Ramadan bersama pimpinan komuniti Permatang Pauh di sini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan sikap saling menghormati antara penganut agama dan kaum di negara ini, dengan setiap pihak bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa menimbulkan ketegangan.

Perdana Menteri turut memuji tahap toleransi masyarakat berbilang kaum dan agama yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan negara.

Beliau turut memaklumkan pemantauan keselamatan negara dilaksanakan secara berterusan menerusi mesyuarat berkala bersama agensi berkaitan bagi memastikan keadaan kekal terkawal.