KUCHING, 12 September-Pemain industri semikonduktor digesa untuk menjalin kerjasama secara pro bono dengan universiti di seluruh negara, dalam usaha membangunkan kepakaran tempatan dan modal insan dalam sektor berteknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia perlu dilakukan bagi menampung keperluan industri di negara ini yang semakin berkembang
“Saya ingin meminta pihak industri meluangkan masa untuk mengunjungi universiti, meneliti kurikulum dan disiplin, serta memberikan cadangan segera tentang kekurangan dan perkara yang perlu diperkenalkan.
“Jika berkesudian, hantarlah tenaga pakar untuk memberikan latihan asas, pendedahan dan kuliah..secara pro bono", katanya demikian pada Majlis Perasmian Kilang X-Fab 40K di Taman Perindustrian Samajaya, Kuching hari ini.
Pada majlis itu, X-FAB, peneraju global dalam pembuatan semikonduktor analog, campuran isyarat dan khusus, mengumumkan peluasan fasiliti bernilai RM3 bilion di Kuching.
Peluasan tersebut meningkatkan kapasiti pengeluaran wafer X-FAB Sarawak daripada 30,000 kepada 40,000 unit sebulan, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab penting bagi pengeluaran cip berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor automotif, perubatan dan perindustrian.
Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB, Rudi De Winter