fb fb fb fb fb

RUU Pembaharuan Semula Bandar penting demi keselamatan bangunan lama

Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 12 September - Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) disifatkan penting bagi memastikan keselamatan serta pemodenan bangunan lama di negara ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Beliau berkata, banyak struktur bangunan lama dibina sebelum wujudnya panduan kejuruteraan moden dan tidak direka untuk menghadapi risiko bencana seperti gempa bumi.

“Gempa bumi bermagnitud 4.1 yang berlaku di Segamat, Johor baru-baru ini merupakan kejadian luar jangka, malah pertama dalam tempoh lebih 100 tahun di kawasan tersebut. Ini membuktikan Malaysia tidak lagi boleh dianggap bebas sepenuhnya daripada ancaman gempa,” katanya ketika merasmikan Simposium Kejuruteraan Bandar 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Nga menjelaskan, RUU PSB akan menjadi landasan penting bagi memastikan bangunan lama disemak semula agar memenuhi standard keselamatan semasa, sekali gus melindungi nyawa dan harta benda.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan jurutera supaya tidak berkompromi dalam soal keselamatan demi memenuhi kehendak kos pihak tertentu.

“Keselamatan awam mesti diutamakan. Jurutera perlu berpegang pada prinsip ini dan tidak tunduk kepada tekanan yang boleh menjejaskan integriti struktur bangunan,” tegasnya.

Tambah beliau, usaha kerajaan melalui RUU tersebut juga bertujuan memanjangkan jangka hayat bangunan lama serta membentuk persekitaran kediaman yang lebih bersih, selamat dan selesa untuk rakyat.

Langkah itu, menurutnya, turut selari dengan peranan Malaysia sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang kini mengusulkan agenda urban baharu dibincangkan dalam rundingan COP-30 dan kerangka UNFCCC, bagi memastikan suara negara membangun didengari di peringkat antarabangsa.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN