fb fb fb fb fb

PM gesa IPD, kuaters polis diselenggara sebelum akhir tahun

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kerja menaik taraf dan menyelenggara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta kuaters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara akan disegerakan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ia diselesaikan sebelum akhir tahun ini demi keselesaan dan keselamatan warga PDRM serta keluarga mereka.

"Untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya kata percepatkan proses tender dan Kementerian Kewangan telah diarahkan untuk memberikan ruang dan kemudahan supaya langkah-langkah diambil dengan segera, dengan memberikan lebih ruang kepada KDN.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk menyegerakan, maknanya janji mesti siap sebelum akhir tahun ini," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

SITI AISHAH MD ISA