fb fb fb fb fb

Agihan 750 unit tangki air di Labuan selesai - Zaliha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Sebanyak 750 unit tangki air selesai diagihkan kepada penduduk di 17 buah perkampungan yang sering terkesan dengan masalah bekalan air, manakala 250 unit selebihnya dijangka selesai diagihkan pada April tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Perbadanan Labuan dan Bahagian Bekalan Air Labuan telah menentukan kriteria sebagai panduan kepada Ketua Kampung untuk melaksanakan kerja-kerja agihan di kawasan masing-masing.

“Kerajaan telah menetapkan matlamat asas iaitu membantu penduduk kampung yang terjejas tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

“Antara kriteria yang kita gariskan sebagai keutamaan kepada penerima yang layak ialah penduduk yang tinggal jauh dan paling akhir menerima bekalan air dari saluran paip utama,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Suhaili di dalam soalannya ingin tahu sama ada bantuan tangki yang telah diluluskan sebanyak 1,000 unit melalui Perbadanan Labuan itu hanya diagihkan kepada penduduk tertentu sahaja atau untuk semua tanpa mengira fahaman politik.

Tambah Zaliha bagi mengatasi isu bekalan air di institusi pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan, Perbadanan Labuan melaksanakan perolehan segera sebanyak 10 unit tangki air berkapasiti 1,200 gelen yang ditempatkan di Kolej Matrikulasi Labuan dan Sekolah Menengah Sains Labuan.

Beliau berkata proses pengagihan tangki itu telah dilaksanakan pada 14 Januari lalu dan berjaya menampung keperluan pelajar asrama di kedua-dua institusi pendidikan berkenaan.

“Perbadanan Labuan juga mengambil langkah untuk menilai kesempurnaan pelaksanaan proses agihan.

“Bagi penduduk yang layak tetapi tidak menerima bantuan tangki air, mereka diminta memaklumkan kepada Perbadanan Labuan dan bantuan sewajarnya akan diberikan kepada penduduk yang terjejas itu,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI