fb fb fb fb fb

PM beri amaran tidak akan berkompromi dengan kartel ayam

SERDANG, 6 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran terhadap mana-mana kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran produk pertanian.

Tegasnya, kerajaan sentiasa berusaha menangani manipulasi orang tengah dan kewujudan kartel dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

"Buktinya semalam Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan amaran terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022, di sini hari ini.

Mengimbau pada tahun 2014, Ismail sabri berkata beliau pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Katanya, ia dilakukan kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

"Saya mahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan jihad ini menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan," katanya.

Tambah beliau, hasil langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan sekuriti bekalan makanan negara terjamin apabila harga ayam kini dijual lebih rendah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram.

Katanya, beberapa langkah intervensi juga dilaksanakan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam dan mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

Buat pertama kalinya kerajaan memberikan subsidi berjumlah RM1.1 bilion sebagai usaha meringankan beban penternak ayam sekali gus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

Ismail berkata, meskipun dunia berdepan dengan kepincangan rantaian bekalan makanan, namun kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.





Media Baharu