fb fb fb fb fb

Perolehan LCS kritikal, TLDM sokong ketirisan projek disiasat

(FOTO FAIL BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah kritikal bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.

Keupayaan tempur yang perlu dimiliki TLDM mestilah sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

(LCS sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard,
pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017 / FOTO FAIL BERNAMA)

"TLDM berpandangan ia adalah keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.

"TLDM juga ingin menyeru semua pihak supaya berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara," katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, TLDM menyokong supaya sebarang ketirisan di dalam projek itu disiasat dengan pihak yang terbukti terbabit dalam isu berkenaan segera dibawa ke muka pengadilan.

Kelewatan pelaksanaan projek turut memberi kesan negatif kepada warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS untuk melaksanakan tanggungjawab secara berkesan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Media Baharu