SEPANG, 31 Oktober -Perdana Menteri, Belanda Mark Rutte tiba di Malaysia pada pukul 3.20 petang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang bagi lawatan kerja ke Malaysia sehingga 1 November ini.
Lawatan kerja berkenaan merupakan lawatan kedua selepas lawatan sulung pada tahun 2014.
Perdana Menteri Belanda itu diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Asing, pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan delegasi perniagaan.
Ketibaan Rutte disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alemin dan pegawai-pegawai Kerajaan tertinggi Malaysia.
Rutte dijangka dijangka mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada esok.
Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian, agrikomoditi dan isu Islamofobia, serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu.
Selain itu, Perdana Menteri Belanda itu turut dijangka akan mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dan terlibat dalam acara simbolik penanaman pokok sawit yang melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit.
Rutte turut dijadualkan menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi dialog bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, dalam Dialog Air Malaysia – Belanda ke-6 esok.
Pada tahun 2022, Belanda merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan sebanyak RM48.04 bilion atau (USD10.93 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion atau (USD8.68 bilion) pada tahun 2021.
Di samping itu, Belanda juga merupakan pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar dalam kalangan negara- negara Kesatuan Eropah (EU)