fb fb fb fb fb

Malaysia terima tiga notis ancaman dari Kedutaan AS - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Kementerian Luar mendedahkan menerima tiga notis 'tata tindak' daripada Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur susulan pendirian Malaysia untuk tidak melabel Hamas sebagai pengganas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan notis itu diterima masing-masing pada 13 Oktober, 18 Oktober dan semalam.

"Oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat, Kementerian Luar menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali iaitu pada 13 dan 30 Oktober lalu serta sekali (satu lagi notis) kepada duta besar.

"Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas.

"Saya sudah menjawab dalam majlis (solidariti Palestin) di stadium baru-baru ini, saya tegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian bebas kita dengan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu (salah) dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa kerana perkara ini sudah berlarutan berdekad sejak 1948," katanya demikian pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut mendedahkan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat telah dipanggil Jabatan Negara Amerika Syarikat susulan pendirian negara berhubung konflik Israel-Palestin.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD