fb fb fb fb fb

PM bakal umum bantuan kepada mangsa banjir esok

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan membuat tinjauan ke lokasi banjir di negeri-negeri Pantai Timur meliputi Terengganu dan Kelantan esok.

Jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa bantuan khas kepada penduduk terjejas.

"Perdana Menteri akan melakukan lawatan esok ke kedua-dua negeri, saya jangka pengumuman akan dibuat oleh beliau berhubung bantuan wang ehsan, bantuan-bantuan lain kepada mereka terkesan ekoran daripada bencana banjir di Pantai Timur," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai jenis bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad  pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini)

Abdul Latiff turut menjelaskan sejak 26 Februari lalu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mengadakan mesyuarat pada setiap hari berhubung situasi banjir dalam negara. 

Ujarnya, seramai 10,000 anggota pasukan penyelamat terlibat membantu penduduk terjejas banjir.

Menjawab soalan asal mengenai langkah drastik bagi menangani banjir di Pantai Timur, Abdul Latiff berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (MDCC) sudah mengeluarkan notis kesiapsiagaan banjir.

Notis tersebut katanya, dikeluarkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah serta menerima maklum balas amat positif daripada pelbagai agensi, sejak 23 Februari lalu.

Memperincikan kawasan terjejas kejadian banjir di Pantai Timur, beliau berkata, sebanyak tujuh daerah di Kelantan, manakala lapan lagi di Terengganu terjejas akibat kejadian itu ketika ini.

"Semua kita tahu kemuncak pemindahan mangsa terjejas banjir adalah antara 26 hingga 28 Februari tetapi oleh kerana kita bekerjasama dengan METMalaysia (Jabatan Meteorologi) dan maklumat awal disampaikan awal kepada negeri dan daerah.

"Maka, kesiapsiagaan di peringkat negeri dan daerah di Kelantan dan Terengganu dapat dijalankan dengan suasana amat positif," katanya yang juga Ahli Parlimen Mersing.

Media Baharu