fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus tambah baik perkhidmatan awam, sistem penyampaian lebih berpaksikan rakyat' - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR , 1 Mac Sistem penyampaian kerajaan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa melalui maklum balas daripada semua pihak.

Bagi mengatasi kelemahan yang timbul, kerajaan akan memberi fokus dalam memberi wajah baharu kepada penjawat awam dan juga landskap baharu dalam organisasi awam. 

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembaharuan tersebut bertujuan menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat berpaksikan rakyat dan memudah cara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani karenah birokrasi.

(Datuk Seri Ismail Sabri dalam sesi soal jawab di Parlimen pagi ini)

"Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

"Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

"Buat pertama kali, kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran dalam talian," kata Ismail Sabri ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memastikan organisasi awam lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian tanpa pertindanan fungsi. 

Tambahnya, kerajaan akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa dan mendatang.



Media Baharu