PUTRAJAYA, 3 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Jemaah Menteri untuk 'turun padang' bagi meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan Perdana Menteri kepada semua menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini.
"Dalam mesyuarat hari ini perkara ditegaskan oleh Perdana Menteri adalah supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang, melihat sendiri keadaan termasuk isu berkaitan harga barang atau kuantiti barang-barang di pasaran.
“Ini (arahan) susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini),” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
"Penekanan ini juga diberi sebelum kita sambut Aidilfitri," katanya pada sidang media pasca mesyuarat kabinet di sini.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita menyapa Anwar pada siri lawatan beliau dalam satu program di Perlis, baru-baru ini.
Ia menyaksikan wanita itu meluahkan kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.