fb fb fb fb fb

PM akan jumpa keluarga Teoh Beng Hock

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri jaminan akan berjumpa keluarga mendiang Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR, 15 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuannya untuk bertemu dengan aktivis tuntutan keadilan mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti memorandum tuntutan kumpulan itu dalam masa terdekat.

Mendiang Teoh merupakan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditemui mati setelah jatuh dari bangunan pada 2009.

Anwar berkata, beliau mengambil maklum insiden yang berlaku di luar Parlimen hari ini melibatkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

"Saya beri jaminan akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat dan meneliti memorandum tuntutan," katanya menerusi hantaran di X.

Awal pagi tadi, media melaporkan sekumpulan aktivis disekat daripada menghampiri bangunan parlimen hari ini.

Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-Ada) yang hadir menuntut keadilan atas kematian mendiang Teoh yang meninggal dunia dalam tahanan SPRM.

Bagaimanapun, suruhanjaya siasatan diraja pada tahun 2011 memutuskan dia didorong untuk membunuh diri berikutan siasatan oleh SPRM.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh perbuatan orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman.

GRACE AISYAH KEDAYAN