fb fb fb fb fb

Awang Bemee dilantik sebagai Senator Dewan Negara

Senator Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah/Foto FB Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 Julai- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, telah mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pelantikan Awang Bemee mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini sehingga 14 Julai 2027.

"Saya mengambil peluang untuk mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah menamakan saya sebagai Senator dan telah diterima oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong."

"Sumpah saya tadi, sesungguhnya dengan jujur akan menunaikan kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negara dengan sebaik-baiknya dan juga patuh memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia," kata Awang kepada pemberita dalam sidang media selepas mengangkat sumpah di bangunan Parlimen, hari ini.

Datuk Awang Bemee dilahirkan pada 22 Jun 1959, di Sibu, Sarawak dan pernah menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011.

Selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dan kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM