fb fb fb fb fb

PM adakan lawatan kerja sehari ke Kedah esok

(Anwar Ibrahim)

KUBANG PASU, 16 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan melakukan lawatan kerja sehari ke Kedah esok.

Dalam lawatan itu, Anwar turut dijadualkan melawat Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele di Jalan Kodiang yang pernah dikunjungnya pada 36 tahun lalu ketika bergelar menteri pendidikan.

SMA Nahdhah Hasanah Melele telah beroperasi sejak 75 tahun lalu dilihat begitu dekat di hati perdana menteri.

Anwar dijangka hadir sempena Majlis Sambutan Jubli Intan sekolah berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengetua SMA Nahdhah Hasanah, Syeikh Dr Mohd Jamil Sadaqi Tajudin berkata, antara jasa pemimpin itu kepada warga sekolah ialah memberi peruntukan untuk membina lima kelas bagi kemudahan pembelajaran.

Terdahulu, dalam lawatan perdana pada tahun 1987, Anwar telah menandatangan plak dan menanam pokok Saraca Asoca sebagai simbolik perasmian lawatan ketika itu.

Selepas lawatan di SMA Nahdhah Hasanah Melele, perdana menteri dijadual menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat Pembangunan Madani Rakyat Disatuni di Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Merbok di Sungai Petani.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dijangka hadir pada majlis itu.

Anwar juga dijangka melancarkan Sistem Nasional MyProjek di konvesyen yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

(Plak yang ditandatangani Anwar Ibrahim dalam lawatan perdana ke SMA Nahdhah Hasanah Melele
di Jalan Kodiang, Kedah pada tahun 1987)

Media Baharu