IPOH, 10 Ogos – Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-46 di Padang Kawad, Kem Gua Permai, Ipoh.
Istiadat kali ini mencatat sejarah apabila buat julung kalinya diadakan perbarisan mengarak panji-panji rejimen, selepas panji-panji itu dianugerahkan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada tahun 2023.
Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Noornashriq Abd Halim berkata, penganugerahan panji-panji itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan pasukan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Perbarisan mengarak panji-panji rejimen dilaksanakan di pasukan ini setelah dianugerahkan pada tahun 2023 dan saya selaku Pegawai Memerintah yang ke-26 merasakan ini adalah satu penghargaan buat diri saya dan pasukan ini kerana dapat melaksanakan salah satu istiadat perbarisan buat kali pertamanya di batalion yang keramat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas istiadat perbarisan berkenaan yang melibatkan 18 pegawai dan 235 anggota lain-lain pangkat, diketuai Penolong Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 RAMD, Mejar Ardi Mussaddiq Daros.
Batalion Ke-23 RAMD adalah batalion ke-23 daripada keseluruhan 26 batalion di negara ini yang menerima penganugerahan panji-panji rejimen.
Pasukan ini ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1979 dan menjadikan “Hubbul Watan Minal Iman” yang bermaksud Cinta Negara Sebahagian daripada Iman sebagai cogan kata.