fb fb fb fb fb

PM adakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bertemu Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Jerman di Istana Bellevue/BERNAMA

BERLIN, 11 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank Walter Steinmeier hari ini, di Istana Bellevue.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkara-perkara kerjasama dua hala pada mesyuarat bilateral yang berlangsung selepas itu.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat syarikat Siemens Energy iaitu satu daripada syarikat teknologi tenaga utama di dunia.

Tahun lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Siemens Energy memeterai memorandum persefahaman untuk memulakan pembangunan hidrogen hijau.

Seterusnya, Perdana Menteri menerima sambutan rasmi oleh rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz. Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan perbincangan empat mata dan mengadakan sidang media bersama. Sidang media akan berlangsung pada kira-kira pukul 1.00 pagi, waktu Malaysia.

Berbaki empat hari lawatan Perdana Menteri di Jerman, pelbagai program telah diatur, antaranya esok Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat meja bulat bersama kapten-kapten industri Jerman, sekali gus dijangka dapat mempertingkatkan pelaburan syarikat-syarikat Jerman di Malaysia, selain menghadiri Majlis Bersama Diaspora Malaysia pada hari berikutnya.

ROSLINA BINTI DIN