KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet membincangkan perkembangan terkini berkaitan gencatan senjata antara negara itu dan Thailand menerusi panggilan telefon.
Datuk Seri Anwar menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, perbincangan itu turut menyentuh perihal pasukan pemerhati sementara (IOT) yang kini giat menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara.
"Kami juga berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT," katanya.
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya.
Datuk Seri Anwar mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua negara berkenaan.