fb fb fb fb fb

Pelan Strategik ASCC realisasi Visi Komuniti ASEAN 2045

Foto FB Dato' Seri Tiong King Sing

PETALING JAYA, 19 Ogos- Pelancaran Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) menjadi langkah penting ke arah merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV45).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing bagaimanapun berkata visi semata-mata tidak mencukupi kerana aspek pelaksanaan dan perpaduan yang menjadi kunci kejayaan perlu turut diberi penekanan.

"Visi dan strategi tidak mencukupi kerana pelaksanaan menjadi kunci kepada kejayaan. Kita mesti bekerja bersama dengan lebih erat dan dalam semangat perpaduan. Melalui semangat perpaduan akan membolehkan kita mencapai pelbagai potensi.

"Kita juga mesti secara aktif saling mempromosikan budaya dan warisan masing-masing. Inilah semangat sebenar ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Serantau Pelan Strategik ASCC di sini.

Pelan Strategik ASCC yang dilancarkan pada forum berkenaan merangkumi 12 matlamat strategik, 16 objektif, 20 keberhasilan utama dan 112 langkah strategik.

Malaysia menjadi penganjur bersama forum berkenaan, disokong kerajaan Jepun menerusi Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF) 3.0.

Forum tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn serta hampir 200 wakil delegasi ASEAN.

Tambah beliau, Pelan Strategik ASCC bakal menjadi pemacu kepada kestabilan serantau, perpaduan sosial dan keadilan.

Selain memberi tumpuan kepada fokus utama iaitu budaya, pendidikan dan perlindungan sosial, katanya pelan strategik ASCC itu turut berupaya menjadi platform dalam menangani pelbagai cabaran yang kompleks antaranya perubahan iklim, gangguan maklumat, dan populasi menua.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM