KLANG, 19 Ogos - Jabatan Imigresen Selangor menahan 43 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kilang bingkai cermin di Kawasan Perindustrian Meru, di sini.
Kebanyakan yang ditahan menerusi Op Mahir itu terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh am di kilang berkenaan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata serbuan selama sejam bermula 11 pagi itu berjaya mengesan warga asing yang menggunakan ‘pasport kosong’ tanpa cap masuk dan permit kerja sah serta permit kerja tamat tempoh.
"Satu perkara yang ingin saya beri penekanan, 32 orang memiliki mesin perakam waktu untuk bekerja di kilang ini, sedangkan ada dalam kalangan yang bekerja sebagai buruh binaan. Pihak imigresen mengesyaki mereka telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 39B.
"Jadi, kita akan bawa mereka untuk semakan lanjut di pejabat JIM Selangor di Shah Alam sebelum membuat saringan sewajarnya," jelasnya kepada pemberita.
Siasatan lanjut akan dilakukan terhadap majikan warga asing terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) dan Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63.