KUALA LUMPUR, 18 Julai - Lebih 4,400 syarikat pemula mendapatkan bimbingan menerusi platform MYStartup, jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Beliau berkata negara kini menduduki tangga ke-18 dalam ekosistem perintis global sekali gus membuktikan bakat, daya tahan serta kekuatan golongan tersebut dalam konteks landskap Malaysia.
"Matlamat kami adalah jelas, kami mahu menjadikan Malaysia sebagai landasan global. Kami turut memperkasa para perintis dalam bidang teknologi berimpak tinggi. Kami akan terus memperluas akses modal dan peluang pasaran, dan kami akan terus membina variasi dalam ekosistem inovasi yang inklusif dengan kesiapsiagaan masa depan."
Beliau berucap demikian pada Program MYStartup World Cup West 2025, di sini malam tadi.
Menurut Chang, MOSTI merangka strategi yang jelas bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan syarikat pemula di negara ini.
Portal MYStartup kekal sebagai hab berpusat sekali gus menjadi medan sokongan, kawal selia dan laluan pembiayaan bagi program tersebut.