fb fb fb fb fb

PKRC MAEPS buka semula untuk atasi kesesakan di hospital

 (Suasana di PKRC MAEPS)

SERDANG, 26 Februari - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor yang mula beroperasi semalam, menerima 11 orang pesakit COVID-19, setakat 4 petang tadi.

Menurut Pengarah PKRC MAEPS, Dr Ferwahn Fairis Ab Karim, PKRC MAEPS kali ini beroperasi dalam skala kecil bagi merawat pesakit Kategori 1, 2A dan 2B.

"Data setakat ini menunjukkan bahawa sebahagian dari pesakit kategori ini memerlukan pemantauan dan rawatan kesihatan, tetapi boleh dilaksanakan di pusat kuarantin.

"Dengan memasukkan pesakit kategori tersebut ke PKRC, dapat mengurangkan berlakunya kesesakan di hospital, katanya.

Jelasnya, PKRC MAEPS masih beroperasi secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi membabitkan seramai 272 orang petugas.

Bagi Pakar Kesihatan Awam UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh pula, pengoperasian semula PKRC MAEPS merupakan langkah proaktif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penularan gelombang Omicron.

"Jika kita lihat terdapat peningkatan kes yang tingi di Malaysia dan ini melibatkan peratus yang tinggi, kategori 1 dan 2. Walaupun kategori 3, 4 dan 5 sedikit, tetapi peningkatan kes secara keseluruhan menunjukkan bahawa virus masih aktif menular.

"Ini sesuai, ke arah fasa endemik di dalam negara. Bagaimanapun, isu yang wujud juga membebankan sistem kesihatan kerana masih perlu merawat dan juga melakukan pemantauan terhadap kes supaya tidak menjadi lebih teruk, pada masa sama juga perlu mengekang penularan wabak tersebut, katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan PKRC MAEPS dibuka semula dengan kapasiti yang lebih kecil.

Langkah berjaga-jaga itu juga bertindak sebagai penampan supaya hospital awam dapat terus merawat pesakit bukan COVID-19 dan pembedahan elektif tanpa sebarang gangguan.

Media Baharu