KUALA LUMPUR, 24 April- Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP), Istana Kehakiman, menafikan laporan yang menyatakan kaunter jamin ditutup awal pada Khamis lepas sehingga menyebabkan enam tertuduh terpaksa meringkuk di dalam penjara sepanjang cuti perayaaan kerana gagal menyelesaikan proses ikat jamin.
Menurut PKPMP dalam satu kenyataan, kesemua 10 tertuduh telah dibenarkan mahkamah untuk dijamin, namun hanya penjamin bagi empat tertuduh yang hadir untuk meneruskan proses ikat jamin pada hari berkenaan.
Pejabat Ketua Pendaftar memaklumkan, kaunter jamin berkenaan sebenarnya ditutup pada pukul 4.00 petang, iaitu waktu biasa penutupan kaunter jamin sepanjang bulan Ramadan.
Bagaimanapun, proses jamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat disempurnakan selepas penjamin bagi keenam-enam mereka tidak dapat dikemukakan sehingga pukul 4.00 petang.
(Foto hiasan)
Menurut PKPMP, kehadiran penjamin untuk menguruskan proses jamin merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi, selain bertujuan membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin yang bertanggungjawab dalam jaminan itu.
Ia juga bagi memberikan penerangan secara lisan kepada penjamin-penjamin berhubung syarat dan tanggungjawab penjamin sepanjang tempoh jaminan.