MANJUNG, 24 April- Seorang lelaki obesiti seberat 140 kilogram (kg), berusia 44 tahun diangkat menggunakan khidmat khas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas tergelincir di Bukit Tiga Ratus, di sini, semalam.
Seramai lapan anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam bagi membantu membawa turun mangsa yang patah pergelangan kaki kiri ketika melakukan aktiviti mendaki bersama rakannya.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, mereka menerima panggilan kecemasan daripada orang awam bagi mendapatkan bantuan operasi khas itu pada pukul 1.50 tengah hari.
(Foto ihsan JBPM Perak)
"Anggota dengan kekuatan lapan orang menggunakan pengusung untuk menurunkan mangsa pada ketinggian 170 meter," katanya.
Bagaimanapun, mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.