fb fb fb fb fb

PJMKM Kelantan bermula hari ini

KOTA BHARU, 27 Ogos- Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Kelantan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan mulai minggu ini menerusi pembahagian Kumpulan A dan B.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam kenyataan memaklumkan Kumpulan A terdiri daripada DUN di kawasan Parlimen Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang, Bachok, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai.

Kumpulan B pula adalah DUN di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Kubang Kerian, Ketereh, Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang.

"LKIM dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana bagi PJMKM Kelantan meliputi 45 kawasan DUN dengan peruntukan sebanyak RM5.6 juta bagi tempoh lima bulan atau RM125,000 setiap DUN.

"PJMKM Kelantan untuk Kumpulan A akan dilaksanakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan manakala Kumpulan B akan diadakan pada minggu kedua dan keempat setiap bulan," menurut kenyataan itu.

Menurut LKIM, tujuh kawasan DUN akan melaksanakan PJMKM bulan ini dengan tiga kawasan iaitu DUN Kok Lanas (Pasaraya Jelira), DUN Nenggiri (SMS Maju Solution) dan DUN Galas (Pasaraya TMG Mart Gua Musang) pada hari ini dan esok.

"Program akan diteruskan di DUN Kelaboran (Agrobazar Rakyat Pekan Tumpat), DUN Tanjung Mas (Pasar Seringgit Lundang) dan DUN Semerak (Pasar Nelayan Tok Bali) pada Isnin dan Selasa (29 dan 30 Ogos) manakala DUN Melor (Panji Makmur Trading) pada Selasa dan Rabu (30 dan 31 Ogos),” menurut kenyataan itu.

Bagi kawasan DUN lain, kesemuanya akan dilaksanakan bermula September di pasar raya yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

(Foto fail)

"Pemilihan premis adalah melalui cadangan oleh pihak Ahli Dewan Undangan Negeri dengan persetujuan pemilik premis.

"Antara barangan keperluan harian ditawarkan diskaun adalah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras serta sayur-sayuran. Premis juga digalak memberi diskaun ke atas barang keperluan harian lain," menurut LKIM.

Media Baharu