Pinjaman baharu kerajaan menurun, perbelanjaan rakyat terus meningkat – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 November – Kerajaan terus memperkukuh disiplin fiskal negara menerusi pengurangan pinjaman baharu, sambil memastikan perbelanjaan bagi menjaga kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperkukuh disiplin fiskal dengan mengurangkan pinjaman baharu.
  • Perbelanjaan untuk kebajikan rakyat, emolumen penjawat awam dan subsidi terus meningkat.
  • Tumpuan diberi kepada membendung ketirisan dan kebocoran untuk pengurusan perbelanjaan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pinjaman baharu kerajaan menunjukkan trend penurunan sejak 2023, sekali gus mencerminkan usaha mengawal kedudukan kewangan negara.

“Yang pentingnya, apakah kerajaan terus membebankan kewangan negara dengan hutang baru? Jadi saya sebut di sini pada tahun 2021, 2022, hutangnya itu RM100 bilion, pada 2023 sebanyak RM92.6 bilion, pada 2024 sebanyak RM76.8 bilion. Turun lagi pada 2025, RM75.6 bilion.

“Walaupun hutang kita berkurangan, kita kurang ambil, belanja masih meningkat. Umpamanya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM16 bilion. Kenaikan gaji penjawat awam RM18 bilion”, katanya.

Datuk Seri Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How berhubung kedudukan hutang negara dan keupayaan fiskal kerajaan menghadapi kemungkinan konflik Asia Barat yang semakin meruncing pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, nisbah hutang Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut diunjurkan menurun kepada 64 peratus pada 2026 dan 63 peratus pada 2027.

Bagaimanapun katanya, pengurangan pinjaman baharu tidak bermakna perbelanjaan kerajaan turut menyusut, sebaliknya peruntukan bagi bantuan rakyat, emolumen penjawat awam dan subsidi terus meningkat.

Tambah beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha membendung ketirisan dan kebocoran bagi memastikan perbelanjaan negara dapat diurus secara lebih berkesan, tanpa mengabaikan keperluan rakyat dan pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.