KUALA LUMPUR, 8 Disember- Pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM) adalah satu langkah penting yang tidak boleh dipandang remeh.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan, pindaan itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam penjualan bahan pornografi, termasuk pornografi kanak-kanak.
"Untuk Seksyen 233, kita melakukan dua perkara yang sebenarnya, game changer. Pertama, kita jadikan dua bentuk kesalahan, pedofilia dan juga jualan pornografi dalam talian sebagai kesalahan yang boleh ditangkap.
"Jadi, ini saya pasti bukan satu pindaan yang remeh, tetapi akan membantu memastikan bahawa penjenayah terutama mereka yang terlibat dalam penjualan pornografi seperti dalam kes 'hot daddy' sebelum ini dan juga mereka yang merupakan pedofilia yang menyimpan bahan-bahan seksual, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, mereka ini perosak umat", katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Perasmian Program Jelajah Peduli Ummah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mengandungi 51 muka surat, adalah penambahbaikan penting selepas 26 tahun akta itu dikuatkuasakan.
Pindaan tersebut memasukkan huraian bagi perkataan 'jelik' untuk memudahkan tafsiran oleh pihak pendakwaan, pembelaan dan kehakiman.