fb fb fb fb fb

MCMC siap sedia hadapi cabaran liputan telekomunikasi

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil bergambar bersama para penerima sumbangan pada Program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di IWK Eco Park Pantai Dalam/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran berkaitan liputan telekomunikasi di kawasan terjejas, susulan gelombang kedua banjir yang dijangka bermula hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan, hampir kesemua 323 menara pemancar telekomunikasi yang terkesan akibat banjir gelombang pertama telah pulih sepenuhnya dan kini beroperasi seperti biasa.

“Kita akan terus memantau prasarana telekomunikasi, terutamanya dengan jangkaan gelombang kedua banjir bermula pada hari ini hingga 11 Disember," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Peduli Ummah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menegaskan, MCMC akan mempercepatkan usaha baik pulih menara pemancar yang terjejas bagi memastikan penduduk di kawasan terlibat tidak menghadapi gangguan talian komunikasi, terutama dalam situasi kecemasan.

ROSLINA BINTI DIN