fb fb fb fb fb

Banjir petang: Empat negeri semakin pulih, Perak kekal

Penduduk Kampung Simpangan di Tumpat meredah banjir untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Mukim Simpangan berikutan banjir melanda negeri Kelantan pada 6 Disember lepas/Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Penduduk terjejas banjir di Kelantan, Kedah, Johor dan Melaka terus mencatatkan penurunan, manakala Perak tidak berubah apabila mencatatkan keseluruhan 819 orang yang masih berlindung di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang ini, berbanding 3,808 orang pagi tadi.

Penurunan mendadak direkodkan di KELANTAN iaitu 111 orang daripada 48 keluarga ditempatkan di dua PPS setakat 4.00 petang ini, berbanding 2,268 orang pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah itu membabitkan 68 orang (36 keluarga) di Tumpat, manakala 43 orang (12 keluarga) di Pasit Mas.

Penurunan juga berlaku di KEDAH apabila 352 orang masih berada di satu PPS yang dibuka di Kota Setar membabitkan 92 keluarga, berbanding 908 (263 keluarga) pagi tadi.

Begitu juga di JOHOR dan MELAKA, masing-masing berkurang kepada 208 (63 keluarga) dan 17 (lima keluarga) petang ini, berbanding 409 dan 92 orang pagi tadi.

Ia melibatkan daerah Segamat (176) dan Batu Pahat (32) bagi negeri Johor, manakala di Melaka membabitkan daerah Jasin.

Sementara itu, jumlah penduduk terjejas banjir di PERAK petang ini masih kekal 131 orang daripada 45 keluarga di empat PPS melibatkan daerah Kinta, Perak Tengah serta Manjung.

Dalam pada itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan amaran banjir bagi negeri TERENGGANU bermula 10 hingga 13 Disember ini susulan ramalan hujan berterusan peringkat waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Ia melibatkan lembangan Sungai Dungun di Dungun, iaitu kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing, Kampung Shukor, Kampung Janih, Kampung Cheniah dan Kampung Jomgok Batu.

Begitu juga Kampung Kuala Jengal, Kampung Surau, Kampung Keliyu, Kampung Chemuak, Kampung Rantau Panjang, Kampung Talong, Kampung Minda, Kampung Tepus, Jambatan Jerangau, Kampung Jerangau Sungai, Kampung Pancur, Kampung Dendang, Kampung Wa, Kampung Padang Ping, Kampung Bukit Sodek dan Kampung Pinang Baharu.

METMalaysia dalam kenyataan semalam meramalkan risiko banjir boleh berlaku di kawasan-kawasan terbabit bermula Selasa hingga Jumaat ini.

SITI AISHAH MD ISA