fb fb fb fb fb

Tiada rancangan perkenal undang-undang had usia pengguna media sosial

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Tiada rancangan untuk memperkenal undang-undang mengehadkan usia pengguna media sosial, seperti yang dilaksanakan di luar negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, mahu penyedia platform mengambil langkah perlu dalam memastikan pengguna patuh had umur mengikut garis panduan komuniti.

Perkara itu bakal diberi penegasan sebaik pelesenan platform media sosial berkuat kuasa 1 Januari 2025.

"Jadi, penegasan yang kita akan lakukan ialah bagaimana platform-platform melakukan verifikasi pengesahan umur bagi pengguna-pengguna, kerana kita dapati apa yang platform-platform lakukan sekarang, kita akan mulakan dengan itu.

"Kita akan lihat sama ada mereka boleh melaksanakan ataupun tidak. Jika tidak, kita akan lakukan perbincangan selepas itu", katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Peduli Ummah, di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Pemerkasaan keselamatan kanak-kanak juga akan diberi perhatian selaras pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Australia baru-baru ini menjadi negara pertama yang meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, menjadikannya langkah berani dalam mengawal penggunaan platform tersebut.

ROSLINA BINTI DIN