JOHOR BAHRU, 8 Disember - Hanya lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor masih beroperasi selepas lima PPS di Tangkak dan Segamat ditutup pada pukul 2.00 petang tadi.
Penutupan PPS itu melibatkan Sekolah Agama Buloh Kasap, Surau Bukit Senggir, Bangunan Syarikat Paduan Kampung Chodan, Segamat dan Dewan Serbaguna Penghulu Long serta Sekolah Kebangsaan Telok Rimba, Tangkak.
Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah penduduk terjejas banjir turut berkurangan daripada 408 orang kepada 262 orang melibatkan 78 buah keluarga di lapan PPS.
"32 penduduk terjejas masih berlindung di sebuah PPS di Batu Pahat. Manakala, 230 penduduk terjejas kekal berlindung di tujuh PPS yang masih aktif di Segamat," kata jawatankuasa itu.
Sementara itu Jalan Kuala Paya - Balai Badang dan Jalan Tumang, Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan. Jalan Serakek, Segamat hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Mersing dan Kota Tinggi hingga 11 Disember.