
CYBERJAYA, 3 Mac – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun boleh dibawa semula untuk dibentangkan pada mana-mana sidang Parlimen akan datang.
- Usul hadkan tempoh PM kepada maksimum 10 tahun boleh dikemukakan semula pada sidang Parlimen akan datang.
- Semakan mendapati semua Ahli Parlimen Blok Pakatan Harapan hadir dan mengundi menyokong RUU itu.
- Fahmi tekankan pindaan soal tatakelola dan akauntabiliti, serta dorong libat urus lanjut dan penjelasan bagi ahli parlimen tidak hadir.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usul itu tidak mempunyai implikasi terhadap kedudukan kerajaan dan boleh dikemukakan semula, termasuk pada dua lagi mesyuarat Parlimen tahun ini yang dijangka sekitar Jun dan Oktober.
Semakan bersama Kelab Penyokong Kerajaan dan Pejabat Ketua Whip mendapati semua Ahli Parlimen daripada Blok Pakatan Harapan hadir dan mengundi menyokong RUU berkenaan.
“Terdapat 44 yang hadir tapi tidak mengundi. Maka adakah mereka tidak menyokong usaha untuk menyekat ataupun menghakkan kuasa dan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri? Jadi telah terbukti mereka tidak berhasrat untuk mengenakan apa-apa sekatan. Jadi mereka mungkin tidak bersetuju dengan reformasi ini.
“Jadi ini satu perkara yang amat kami kesali. Tapi setidak-tidaknya ahli parlimen Pakatan Harapan 100 peratus hadir. Tidak ada yang tidak hadir dan tidak ada yang tidak menyokong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan di sini, hari ini.
Datuk Fahmi bagaimanapun menegaskan perkara itu bukan isu kepartian, sebaliknya melibatkan tatakelola yang baik dan prinsip kebertanggungjawaban.
“Meletakkan hak dan sekatan kepada tempoh perkhidmatan Perdana Menteri memastikan bahawa ada prinsip akauntabiliti. Takkan prinsip akauntabiliti ini tak penting? Kepada semua ahli parlimen. Jadi saya percaya sepatutnya semua ahli parlimen menyokong,” katanya.
Datuk Fahmi berkata Ahli Parlimen yang tidak hadir perlu memberikan penjelasan kepada Ketua Whip parti masing-masing dan juga kepada Ketua Whip kerajaan, sambil menambah sesi libat urus boleh diteruskan bagi memberi ruang kepada semua pihak memahami cadangan pindaan itu dengan lebih mendalam.