fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi: K-KOMM komited bentang pada sidang parlimen Oktober ini

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Mewajibkan semua pengguna data melantik Pegawai Perlindungan Data dan memperkenal Pemberitahuan Ketirisan Data.

Itu dua daripada lima syor pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan pindaan telah dikemuka kepada Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibentang pada sesi parlimen Oktober ini.

"Sebaik saja kita terima maklum balas draf akhir daripada AAGC, satu memorandum jemaah menteri akan disediakan. K-komm komited membentangkan cadangan pindaan Akta 709 pada sidang parlimen akan datang, yang dijadual berlangsung pada Oktober.

"Cadangan pindaan ini dijangka dapat mewujudkan polisi perlindungan data peribadi yang lebih kukuh dan dinamik sebagai contoh melalui penggunaan instrumen baru," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.



(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

Annuar menjawab pertanyaan wakil Setiu, Shaharizukarnain Abdul Kadir mengenai perancangan kementerian untuk meminda beberapa fasal dalam akta berkenaan bagi menangani jenayah pencerobohan hampir 100 juta data peribadi.

Selain pindaan akta berkenaan, beliau berkata kementerian itu juga sedang mengusahakan langkah lain bagi menangani isu ketirisan dan jenayah scam termasuk advokasi dan mewujudkan satu platform bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan panggilan yang diterima mereka.

“Kita sedang merancang untuk mengadakan satu platform iaitu orang awam apabila menerima panggilan yang meragukan, mereka terus dapat merujuk untuk menyemak kesahihan nama tersebut sama ada datang daripada pemegang talian yang sah ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata perkara itu sedang dilihat kementerian itu khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta memerlukan kerjasama dengan semua pembekal perkhidmatan di negara ini.

Media Baharu