fb fb fb fb fb

Generasi muda diharap lebih matang, bijaksana dalam beri kritikan terhadap kerajaan

(Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah)

KOTA BHARU, 4 Ogos- Kerajaan negeri Kelantan berharap orang ramai khususnya generasi muda supaya lebih matang dan bijaksana dalam memberi kritikan terhadap kerajaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya menerima sebarang kritikan namun ia haruslah berlandaskan maklumat yang jelas dan bukan sekadar mengikut sentimen semasa.

Jelasnya, kebebasan bersuara adalah prinsip asas dalam amalan demokrasi di negara ini namun, jika dakwaan itu berselisih dengan maklumat jelas ia dapat menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Saya menasihatkan pengundi-pengundi terutama generasi muda supaya lebih matang dan bijaksana apabila berdepan dengan isu mereka boleh menjadi kritikal. Saya setuju generasi muda perlu kritikal kita tidak boleh jadi 'yes man' sebab mereka ini bakal pemimpin tapi kita kena dapatkan maklumat yang jelas tentang sesuatu perkara kemudian mengkritik dengan kematangan bukan ikut sentimen," katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-Empat, Kota Bharu.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan acara Flag Off Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang melibatkan 100 jentera daripada pelbagai jabatan dan agensi selain Badan Bukan Kerajaan (NGO).


(Datuk Mohd Amar (dua dari kiri) bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tengah) pada Majlis Pelancaran Bulan
Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-empat, Kota Bharu)

Media Baharu