TELUK INTAN, 25 November- Sesi libat urus bersama ahli parlimen berkaitan pindaan Akta Koperasi 1993 akan diadakan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata langkah itu dilakukan bagi memberi peluang kepada semua pihak menyumbang kepada penyediaan draf pindaan tersebut.
Ketika ini, sesi libat urus bersama agensi dan jabatan kerajaan sedang dilaksanakan.
"Saya menyasarkan pada hujung tahun ini untuk kita bentang ke kabinet berhubung cadangan dasar itu. Kemudian, cadangan terkait dengan draf itu diteliti oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) dan barulah kita boleh angkat ke kabinet dan bentang di Dewan Rakyat.
Ketika ini, saya mahu kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adakan sebanyak mungkin libat urus," kata Datuk Ewon kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada sidang media Majlis Sambutan Jubli Emas 50 tahun Ladang MOCCIS Sdn. Bhd. dan perasmian Dewan Banquet De 1 MOCCIS di Changkat Jong, pagi tadi.
Akta Koperasi 1993 akan dipinda melibatkan 96 peruntukan asal dalam akta itu yang akan disusun dan ditambah baik.
Anggaran sebanyak 200 pindaan baharu akan dimasukkan ke dalam akta tersebut.