fb fb fb fb fb

Pindaan Akta FINAS dibentang Oktober, fokus kelestarian industri filem

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran TAR UMT FCCI Filem Festival 2025 ALKISAH: “The Wonders of Asian” di Universiti Tunku Abdul Rahman hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September- Kerajaan bakal memperkenalkan bacaan pindaan pertama Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada minggu pertama sidang Parlimen, Oktober depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pindaan itu bertujuan menyesuaikan undang-undang sedia ada dengan realiti industri filem semasa yang tidak lagi bergantung kepada format tradisional seperti seluloid 35mm.

“Saya juga telah meminta pihak FINAS, selain daripada sesi libat urus bersama industri, untuk mengadakan sesi libat urus awal dengan Ahli Parlimen supaya mereka memahami bahawa usaha ini dilakukan demi kebaikan industri filem, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.

Ia sekali gus menjamin kelestarian masa depan industri perfileman negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TAR UMT FCCI Film Festival 2025 – Alkisah: The Wonders of Asian Folklore di Universiti Tunku Abdul Rahman, hari ini.

Beliau menambah, setiap penerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) juga perlu menjamin kebajikan pekerja mereka agar manfaat pembangunan industri dapat dinikmati secara menyeluruh.

Pada masa sama, Kementerian Komunikasi bersama FINAS akan memperkemas garis panduan berkaitan peraturan dan pelaksanaan akta berkenaan.

Menurut Datuk Fahmi, isu penyertaan ahli industri dalam Lembaga Pengarah FINAS turut diberi perhatian, susulan kekangan sebelum ini yang menghalang penggiat seni dan keluarga mereka daripada menerima geran sekiranya terlibat.

“Perubahan ini penting untuk membolehkan lebih ramai penggiat filem aktif terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju FINAS, sekali gus memperkukuh ekosistem kreatif tanah air,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN