fb fb fb fb fb

Pindaan Akta 134: Perkasa suara & aspirasi Orang Asli

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dijangka memberi kuasa kepada Menteri melantik Ahli Majlis yang memiliki kepakaran khusus mengenai hal ehwal masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, berkata penubuhan majlis ini bertujuan memastikan suara dan aspirasi masyarakat Orang Asli diperkukuh melalui kerangka perundangan, selaras dengan prinsip keazaman kendiri (self- determinant) sebagaimana digariskan dalam United Nations Declaration on the Rights of Indigenous People (UNDRIP), yang disokong Malaysia sejak 2007.

"Cadangan mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung telah dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Orang Asli, berasaskan model New Zealand Maori Council (NZMC) yang terbukti memacu pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan budaya," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Datuk Rubiah, kerajaan sebelum ini turut mendapatkan pandangan 1,336 responden termasuk masyarakat Orang Asli sendiri, melalui sesi libat urus, bengkel, dan dialog awam, bagi memastikan cadangan pindaan akta inklusif dan holistik.

Beliau juga menegaskan, cadangan pindaan akta ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) serta Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN), dan diharapkan dapat dibawa ke Parlimen pada 2026.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempertimbang untuk mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli bagi memperkukuh suara dan aspirasi komuniti dalam menentukan hala tuju pembangunan mereka.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI