PUTRAJAYA, 16 Mei - Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berfikir secara rasional dan tidak bertindak terburu-buru terutama ketika proses pemilihan masih berlangsung dan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang semakin hampir.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan berpandukan emosi termasuk ugutan untuk meletakkan jawatan hanya akan merencatkan proses penyatuan parti.
Katanya ia sekali gus, menjejaskan kelancaran menjelang Kongres Nasional PKR yang dijadualkan bermula 21 Mei ini.
"Sebaiknya kita lakukan pertandingan yang sihat. Itu sudah tentu adat kita bertanding dan sebaiknya memperketengahkan atau menengahkan kekuatan masing-masing itu adalah jauh lebih baik bagi saya.
"Bagi saya berfikir dulu sebelum membuat apa-apa tindakan. Yang paling penting sekali, diakhir selepas pemilihan ini untuk kita satukan balik saf, rapatkan balik saf demi kekuatan parti," kata Datuk Seri Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025, di sini.
Beliau mengulas desas-desus beberapa ahli jawatankuasa cabang mahu meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan Ketua Cabang yang baharu dipilih.
Datuk Seri Dr Zaliha menekankan keperluan bagi mengekalkan semangat kekeluargaan dan berjiwa besar dalam menghadapi perbezaan pendapat.